Tiga juta jemaah berada di Mekah

Saturday 6 December 2008

SEJUMLAH jemaah haji berjalan ke arah Masjidil Haram untuk bersolat Jumaat di Mekah, Arab Saudi semalam.

MEKAH - Hampir tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia berhimpun di kota Mekah sehari sebelum memulakan ibadat berkenaan yang diwajibkan sekali dalam seumur hidup setiap penganut agama Islam.

Jemaah haji lelaki memakai ihram sebagai simbol kesucian diri dan persamaan manakala wanita menutup seluruh tubuh badan kecuali tapak tangan dan wajah mereka.

Mereka bergerak mengelilingi Kaabah, sebanyak tujuh kali yang menjadi kiblat umat Islam. Kaabah terletak di dalam Masjidil Haram.

Bagi memastikan ibadat yang berlangsung selama lima hari itu berjalan lancar, Arab Saudi mengerahkan 100,000 petugas keselamatan untuk mengawal ketenteraman.

Terdapat beberapa sekatan jalan raya di semua jalan yang menuju ke Mekah manakala polis bertindak memeriksa permit haji jemaah tempatan dan pasport jemaah luar negara.

Kawalan keselamatan kali ini agak ketat berikutan musim haji bermula hanya seminggu selepas serangan pengganas di Mumbai, India yang mengorbankan lebih 171 orang dan mencederakan 300 yang lain.

Media tempatan melaporkan sejumlah tangkapan dilakukan setakat ini termasuk dua warga Mesir kerana mengendalikan operasi syarikat pengurusan haji tanpa lesen.

Pada awal minggu ini, askar-askar Arab Saudi menyerbu sebuah pangsapuri di bandar Jeddah yang dijadikan sebagai pejabat syarikat palsu.

Bagaimanapun, bagi seorang jemaah Turki, Omar Danis segala kesukaran tidak terasa dan perjalanan ke Mekah merupakan impian hidup yang kini terlaksana.

"Sebaik sahaja saya melihat Kaabah, hati saya berasa tenang, saya berlutut untuk mengucapkan kesyukuran kepada Tuhan dan air mata saya berlinangan," katanya. - AP

Labels:

0 comments: